120,000 kenderaan pelancong, perantau masuk ke Melaka - Utusan Malaysia

120,000 kenderaan pelancong, perantau masuk ke Melaka

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka meramalkan sebanyak 120,000 kenderaan terdiri daripada pelancong dan perantau akan memasuki negeri ini sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketuanya, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, susulan itu lebih 100 anggota polis akan ditugaskan menjaga aliran dan tiada sebarang sekatan jalan raya (SJR) dilakukan bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Beliau berkata, bagaimanapun, andai berlaku kes jenayah dan situasi yang memerlukan SJR dilaksana, polis telahpun bersedia untuk melakukan perkara itu berdasarkan keperluan semasa.

“JSPT negeri tidak akan melakukan SJR sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku kes jenayah dan sekatan ini perlu dilakukan, kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, lebih 14 juta perantau pulang beraya di kampung halaman bermula Jumaat lalu, bagi menyambut Syawal bersama keluarga selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik Covid-19.

Tambah Amran lagi, kes kemalangan maut di Melaka terus mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan, sejak Januari lalu.

Katanya, sebanyak 48 kes direkodkan sehingga Mac, berbanding hanya 32 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Polis juga membentuk empat Jammed Squad bagi meleraikan kesesakan yang teruk di mana-mana lokasi tumpuan.

“Setiap skuad ini terdiri daripada empat anggota dan seorang pegawai yang akan bertindak meleraikan kesesakan luar biasa, khususnya di destinasi tumpuan pelancongan,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN