KUALA TERENGGANU: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia di dataran jambatan angkat atau drawbridge di sini pada Jumaat ini dijangka dihadiri antara 50,000 hingga 100,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kemeriahan program julung kali itu bukan sahaja mampu menarik kedatangan penduduk setempat, malah dari negara jiran, Pahang dan Kelantan.
Katanya, sambutan rumah terbuka itu dalam masa sama menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan dan keindahan Terengganu kepada masyarakat luar.
“Terengganu berasa amat bertuah kerana dipilih sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9 malam.
“Pemilihan ini tepat kerana Terengganu kaya dengan kepelbagai budaya dan warisan untuk diketengahkan kepada seluruh Keluarga Malaysia di negara kita,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pelancongan negeri di sini hari ini.
Ariffin berkata, bermula dari pagi lagi pelbagai acara menarik disediakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), antaranya rewang di samping aktiviti demonstrasi dan pertandingan.
Katanya, antara pertandingan itu ialah memancing, lumba perahu, himpunan keris, gateh busana, kambing cantik, ayam ratu, ceramah agama di samping memasak makanan tradisi Terengganu seperti ketupat sotong dan kuih ros diikuti kukur nyiur, memerah santan serta menganyam ketupat. – UTUSAN