SEMENYIH: Yayasan Belia Malaysia (YBM) menerima sumbangan sebanyak RM150,000 daripada CIMB Islamic Bank Berhad bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan mengharungi Ramadan kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustafa Othman berkata, dana yang disalurkan itu amat membantu pihaknya menjalankan aktiviti penyerahan bakul makanan dan bantuan keperluan asas di tujuh buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, Sehubungan itu, katanya, pihaknya merakamkan rasa syukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dan bernasib baik.
“Saya mewakili YBM mengucapkan ribuan terima kasih kepada CIMB Islamic Bank Berhad kerana membantu memberi dana kepada YBM untuk menyelaras dan menyumbang kepada masyarakat.
“Insya Allah, bantuan yang kita dapat ini akan dan YBM salurkan semula kepada pusat-pusat pendidikan, madrasah dan pusat jagaan asnaf.
“Kita tahu pusat pendidikan seperti madrasah terutamanya meneruskan kelangsungan dengan terpaksa mencari dana dengan sendiri,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam Majlis berbuka puasa bagi meraikan 33 pelajar tahfiz Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Raudah, di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Ahmad Shahriman Mohd. Sharif berkata, peruntukan yang disalurkan itu merangkumi sebanyak RM750,000 peruntukan daripada Kumpulan Yayasan CIMB bagi menjayakan program Harapan Ramadan CIMB 2022.
Katanya, peruntukan yang disalurkan sama ada kepada YBM dan organisasi lain yang terlibat itu diharap dapat membantu mereka memberi manfaat kepada 4,000 buah keluarga dengan harapan dapat mengharungi Ramadan dan menanti Syawal dengan penuh kegembiraan.
“Inisiatif seumpama ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa bantuan rakan-rakan penyelaras seperti YBM dan pelanggan CIMB Islamic Bank yang budiman.
“Membantu institusi sebegini yang bukan sahaja bakal melahirkan penghafaz al-Quran, tetapi juga membantu membentuk sahsiah diri pelajar agar dapat membantu menjadi manusia yang berguna kepada agama, negara dan masyarakat,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE