KUALA TERENGGANU: Lebih 50 tahun lalu, suasana di Kampung Alur Keladi di Jertih, Besut meriah dengan amalan memasang pelita pada malam tujuh likur.
Istimewanya, pelita yang dipasang penduduk bukan panjut buluh, sebaliknya, menggunakan buah kekabu muda.
Namun, tradisi itu makin dilupakan sehingga tidak ramai dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda tahu tentangnya.
Bagaimanapun, amalan memasang pelita kekabu kembali dihidupkan seorang penduduk Mohd. Zailani Mohd. Nor, 46, bahkan, turut dipromosikan dalam program Pelita Raya 2022 di Kampung Budaya Terengganu di sini yang berakhir semalam.
Katanya, kali terakhir aktiviti itu dilihat adalah kira-kira 30 tahun lalu yang dihasilkan datuknya, Allahyarham Othman Ismail bagi menerangi kawasan kediaman.
“Saya masih belasan tahun lagi dan boleh dikatakan tradisi pelita kekabu sudah hampir pupus pada masa itu kerana tidak ramai yang memasangnya di rumah.
“Apabila produk ini dibawa untuk aktiviti promosi di Kampung Budaya Terengganu, rata-rata pengunjung terkejut, pelik dan teruja melihat pelita kekabu buat kali pertama dalam hidup mereka hingga ada yang turut memesan tempahan bagi dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidilfitri,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Zailani yang bekerja sebagai petani berkata, kaedah penghasilan pelita itu cukup ringkas dengan buah muda dipotong suku manakala bahagian isi yang keras dikeluarkan sebelum dicurahkan minyak tanah pada kekabunya.
Katanya, pelita itu mampu menerangi dalam tempoh satu ke dua jam setiap kali dipasang.
Menurutnya, perkongsian menarik mengenai pelita kekabu itu diharap dapat melanjutkan lagi usia produk tradisi berkenaan agar tidak luput ditelan zaman.
“Selama ini, orang hanya tahu buah kekabu boleh menghasilkan bantal sahaja, sedangkan tumbuhan itu mempunyai pelbagai fungsi lain misalnya dijadikan pelita,” katanya. – UTUSAN










