TLDM mohon segerakan perolehan LMSB2 - Utusan Malaysia

TLDM mohon segerakan perolehan LMSB2

MOHD. Reza Mohd. Sany memeriksa perbarisan anggota TLDM pada Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-88 di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memohon kerajaan memberikan kelulusan segera perolehan Batch Kedua Kapal Littoral Mission Ship (LMSB2) demi memelihara kepentingan dan kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, LMSB2 mempunyai keupayaan tempur yang lebih baik berbanding kapal LMS kelas Keris yang digunakan TLDM buat masa ini.

Menurutnya, peningkatan keupayaan tempur ini amat diperlukan ekoran jurang keupayaan tempur yang dihadapi TLDM semakin melebar dan berada pada tahap yang kritikal. 

“Perolehan LMSB2 berkeupayaan tempur ini adalah selari dengan rancangan transformasi TLDM 15 to 5 yang telah direkalibrasi.   

“TLDM amat berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan yang positif bagi memastikan perolehan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepadapemberita selepas Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-88 di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Mohd. Reza berkata, bagi memastikan peroleh itu dapat disegerakan, TLDM telah mengadakan perbincangan serta mendapat sokongan penuh daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, perbincangan berkenaan sangat positif dan pihaknya menaruh harapan serta kepercayaan penuh kepada Hishammuddin untuk mendapatkan bajet LMSB2 dalam tahun ini.

“Justeru, sempena sambutan Hari TLDM KE-88 ini, saya bagi pihak seluruh warga TLDM memohon kepada kerajaan agar perolehan ini dapat diberi kelulusan segera demi memelihara kepentingan dan kedaulatan negara,” katanya.

Mohd.Reza turut menzahirkan rasa syukur dan gembira seluruh warga TLDM selepas Hishammuddin menggumumkan kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Bagaimanapun, katanya, TLDM masih memerlukan lebih banyak platform baharu seperti yang tercatat di dalam  Program Transformasi TLDM 15 ke 5.

Menurutnya, bagi memastikan kesiagaan aset TLDM berada pada tahap tertinggi, ia memerlukan pengorbanan, komitmen, disiplin dan profesionalisme daripada sumber manusia, manakala aset pula hendaklah dalam keadaan terbaik.

“Sebagai Panglima Tentera Laut, saya  mengakui prestasi cemerlang yang dimiliki oleh setiap the Navy People, namun, apa yang membimbangkan adalah kesiagaan aset yang digunakan oleh the Navy People dalam pelaksanaan operasi.

“Kesiagaan aset-aset ini penting untuk mengawal perairan negara bagi memastikan komuniti maritim khususnya melaksanakan aktiviti ekonomi dengan aman dan bukan itu sahaja, kawalan ketat oleh TLDM di seluruh perairan negara dapat melindungi khazanah atau sumber maritim negara daripada dicabuli dan dicuri oleh anasir jahat.

“Realitinya, kira-kira 61 peratus aset yang dimiliki TLDM kini telah beroperasi menjangkau had umur asal reka bentuknya atau dalam ayat mudah adalah keusangan,” katanya.

Menurut Mohd. Reza, di sebalik kekangan yang dihadapi, TLDM sentiasa kekal siaga dalam memperagakan kehadiran di laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan melalui rondaan 24 jam, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

Kata beliau, TLDM amat memahami kekangan kerajaan bagi memenuhi keperluan ini.

“Namun, saya berpandangan keadaan situasi geopolitik masa kini agak kurang stabil dan TLDM perlu sentiasa siaga dan berupaya memberi respons yang dikehendaki oleh kerajaan. 

“Jadi, saya amat berharap perancangan perolehan aset-aset berkenaan dapat diperoleh seperti yang dirancang sesuai dengan perkembangan pertahanan maritim serantau,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN