PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu tiga premis pemborong di pasar awam di sekitar Selangor semalam selepas didapati menjual ayam standard melebihi harga yang ditetapkan.
Kesemua premis di Klang, Puchong dan Kajang itu dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan susulan daripada maklumat yang diterima berhubung pergerakan harga runcit ayam di sesetengah pasar awam yang menjual harga runcit mencecah RM9.30 sekilogram.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya mendapati tiga pemborong didapati menjual ayam standard pada harga borong melebihi harga yang ditetapkan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.
“Ketiga-tiga premis tersebut telah dikenakan tindakan di bawah peruntukan Seksyen 11, menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah AKHAP 2011.
“Kesemua premis dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 dengan jumlah keseluruhan kompaun RM3,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Zikril Azan berkata, dua daripada tiga premis dikesan gagal mengemukakan dokumen lesen borong menjual barang kawalan ayam.
Ujar beliau, kedua-dua premis tersebut dalam siasatan di bawah peruntukan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan (PPKB) (Ayam) 1996, AKB 1961.
“Perlu diingatjan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan di bawah AKHAP 2011 dan AKB 1961,” katanya.
KPDNHEP Selangor meminta kerjasama orang ramai untuk mempraktikkan pengguna bijak adu mengenai salah laku mana-mana peringkat perniagaan menerusi saluran aduan rasmi seperti di bawah;
- Whatsapp 019-279 4317
- Portal e-aduan.kpdnhep
- Call Centre 1-800-886-800
- Emel [email protected]
- Ez ADU KPDNHEP
- Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485- UTUSAN