JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kadar jenayah di negeri ini akan meningkat susulan pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, hal ini kerana kadar jenayah indeks semasa di negeri ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Beliau berkata, menerusi Operasi Lejang yang dilancarkan di seluruh negeri pada 27 Mac lalu sehingga kini, ia berjaya menurunkan kes jenayah terutama melibatkan harta benda.
Tambahnya, hasil 526 pemeriksaan di premis yang dilakukan membawa kepada penahanan 30 individu yang disyaki terbabit dalam kecurian kenderaan selain polis merampas 24 buah kenderaan.
“Kita telah mengesan satu kenyataan palsu tular dalam media sosial berkaitan kemungkinan berlaku peningkatan jenayah apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka.
“Polis Johor ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahurinain berkata, kadar jenayah indeks di negeri ini pada tahun ini masih menunjukkan penurunan jika dibandingkan dengan tahun lepas iaitu turun sebanyak 339 kes dengan purata sebanyak 11 kes sehari.
Katanya, jenayah harta benda turut mencatatkan penurunan 22 peratus manakala jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus dengan kadar penyelesaian kes di negeri Johor sebanyak 44 peratus.
“Secara keseluruhannya, kedudukan jenayah indeks di negeri ini masih terkawal. Sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, JSJ giat melancarkan pelbagai operasi dan aktiviti pencegahan jenayah secara agresif.
“Ini termasuk membanteras kegiatan hiburan, perjudian dan maksiat di negeri ini demi memastikan Johor bebas dari jenayah, selamat didiami dan dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negara,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










