Tanda SIRIM: Kerajaan mahu kaut untungkah? - Azis Jamman  - Utusan Malaysia

Tanda SIRIM: Kerajaan mahu kaut untungkah? – Azis Jamman 

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun kerajaan sudah menangguhkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka bukan perubatan tanpa ada penandaan SIRIM, namun, masih timbul rasa tidak puas hati berhubung niat kerajaan ketika negara dalam peralihan ke endemik. 

Meluahkan kepada Utusan Online, Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, adalah pelik kerana sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, kerajaan langsung tidak terfikir untuk menguatkuasakannya. 

Beliau turut mempersoalkan jika kerajaan berhasrat mahu mengambil kesempatan atau tujuan mengaut untung ketika keadaan ekonomi rakyat dalam proses pemulihan. 

“Semasa awal pandemik tiada keperluan pun penandaan SIRIM ini. Mengapa saat kita semua sedang beralih ke endemik hal ini terjadi pula? Jadi, tidak perlulah laksanakan, selagi kita memakai pelitup muka dengan kaedah yang betul walaupun tanpa ada tanda SIRIM, itu sudah cukup. 

“Kalaupun kerajaan mahu meletakkan SIRIM tanpa melibatkan sebarang kos, ini tiada masalah. Tetapi kalau benar melibatkan kos, ini yang kerajaan harus pertimbangkan kerana situasi rakyat sekarang masih sukar menjalani kehidupan,” katanya hari ini. 

Selasa lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. berkuat kuasa 4 Julai depan. 

Pewartaan itu bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan. 

Bagaimanapun, setelah menerima maklum balas kurang menyenangkan daripada pelbagai pihak, kerajaan memutuskan menangguhkannya sehingga 1 Januari 2023. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN