Solat jumaat pertama di Masjid Razaleigh - Utusan Malaysia

Solat jumaat pertama di Masjid Razaleigh

AB. Aziz Yusoff (kanan) menyerahkan replika kunci kepada Zulkifle Ab. Rahman sebagai simbolik penyerahan Masjid Razaleigh di Bandar Lama Gua Musang sambil disaksikan Tengku Razaleigh dan Tengku Mohamad Rizam. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Selepas dua tahun tertangguh, hasrat orang ramai untuk mengimarahkan Masjid Razaleigh di sini tercapai apabila ‘kembar’ kepada Masjidil Haram di Mekah itu dibuka secara rasmi menerusi solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Razaleigh, Ab. Aziz Yusoff menyerahkan masjid itu kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman.

Penyerahan masjid dan solat Jumaat pertama hari ini turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, masjid bernilai RM34 juta itu siap dibina sejak dua tahun lalu, namun, pembukaannya terpaksa ditangguh berikutan penularan Covid-19 yang berpanjangan.

Katanya, masjid baharu yang rekaannya mirip dengan Masjidil Haram di Mekah itu mampu memuatkan sehingga 4,000 jemaah dan dibina selepas masjid sedia ada tidak mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah setiap tahun.

“Sebenarnya masih ada kelengkapan yang belum sampai iaitu replika Kaabah yang akan dipasang di masjid ini. Insya-Allah, dalam tempoh sebulan lagi kita akan pasang replika tersebut.

“Rakyat gembira dengan pembukaan masjid ini. Dalam pada itu, kita berharap agar mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar tidak berlaku penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN