SETELAH persoalan siapa Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor terjawab susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac lalu, tumpuan kini siapa pula yang bakal dilantik menjadi Speaker baharu Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mesyuarat pertama bagi penggal persidangan pertama DUN ke-15 akan berlangsung Dewan Sidang Negeri, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri esok.
Persidangan itu bagi memilih Speaker dan Timbalan Speaker serta upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang memenangi kerusi masing-masing dalam pilihan raya berkenaan.
Mengikut amalan sebelum ini, individu yang dilantik sebagai Speaker bukan dalam kalangan 56 ADUN terutamanya wakil rakyat kerajaan, namun jawatan Timbalan Speaker dikhususkan kepada salah seorang ADUN kerajaan.
Perkara itu bagi membolehkan kesemua wakil rakyat mengundi sekiranya terdapat apa-apa usul yang dikemukakan dan memerlukan sokongan majoriti dewan untuk diluluskan.
Namun, setelah kejayaan Barisan Nasional (BN) menang selesa sehingga 40 kerusi DUN dalam PRN Johor, perkara itu berkemungkinan tidak memberi kesan kepada sebarang sesi pengundian.
Justeru, beberapa nama termasuk dalam kalangan ADUN di pihak kerajaan, bekas ADUN dan bekas pegawai kanan kerajaan disebut-sebut untuk dilantik ke jawatan Speaker bagi mengendalikan sidang dewan selepas ini.
Mereka antaranya ADUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani serta bekas ADUN Rengit, Ayub Jamil yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pengganti Ayub di DUN Rengit, Datuk Mohd. Puad Zarkashi turut dikatakan antara individu yang dipertimbang ke jawatan itu, selain bekas Setiausaha Politik Menteri Besar (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad) iaitu Datuk Zulkurnain Kamisan.
Zulkurnain ketika ini masih menyandang kerusi DUN Sri Medan manakala seorang bekas pegawai kanan kerajaan yang memahami selok-belok pentadbiran dan undang-undang negeri turut dikatakan calon sesuai.
DUN Johor sebelum ini menarik perhatian ramai ketika pentadbiran Hasni apabila mereka mengekalkan Speaker yang dilantik Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat sehingga tamat penggal meskipun BN berjaya membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Speaker ketika itu, Gan Peck Cheng yang juga ADUN Penggaram daripada DAP turut dikekalkan. – UTUSAN










