Shidee hilang abang, adik akibat Covid-19

Shidee hilang abang, adik akibat Covid-19

TIGA anak saudara Shidee yang menjadi yatim setelah kematian bapa tahun lalu akibat Covid-19 hadir pada majlis program sumbangan kepada asnaf sempena Ramadan di Bagan Datuk baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penyanyi era 1980-an Shidee reda walaupun sedih dengan kehilangan seorang adik dan abang yang me­ninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu.

Shidee, atau nama sebenar­nya Rashid Abdul Wahab, 62, berkata, pemergian adiknya, Zulkifli Nazri dan abangnya R. Azmi terlalu menyentuh hatinya.

Katanya, dia mempunyai tujuh beradik iaitu lima lelaki dan dua perempuan yang tinggal di Lembah Klang, tetapi hanya arwah abangnya, R. Azmi yang tinggal di kampung, Sungai Lanchang di sini.

“Kehilangan dua beradik se­kali gus akibat Covid-19 amat menyedihkan dan menyentuh hati saya. Apa yang berlaku ini tak mungkin saya lupakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Shidee, beliau sempat berjumpa adik dan abangnya itu sebelum mereka disahkan positif Covid-19 dan meninggal dunia.

“Saya masih ingat kedua-duanya menyatakan hasrat untuk berkumpul beramai-ramai di kampung masa raya puasa tahun ini. Ini kerana telah dua tahun kita tidak dapat beraya disebabkan Covid-19.

“Tetapi nampaknya hasrat mereka itu hanya tinggal kena­ngan buat kami pada hari raya kali ini kerana mereka telah pergi dahulu meninggalkan kami,” ujarnya.

Menurut penyanyi yang po­pular dengan lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat, lebih menyedihkan kematian adik dan abangnya menyebabkan enam anak saudaranya menjadi yatim.

Katanya, dia sedih kerana anak saudaranya masih kecil dan memerlukan kasih sayang.

“Saya kasihan melihat ke­ada­an mereka yang kehilangan bapa. Saya dan adik-beradik yang lain akan membantu mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN