JOHOR BAHRU: Sesi pembelajaran secara bersemuka di semua sekolah tanpa penggiliran yang dilakukan bermula Ahad lalu berjalan lancar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, indikasi itu berdasarkan maklum balas positif yang diberikan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.
Katanya, majoriti ibu bapa lebih selesa dengan pengoperasian sekolah tanpa penggiliran dilakukan kerana memudahkan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
“Dengan tidak ada lagi sistem penggiliran itu, ia akan memudahkan ibu bapa dari segi masa dan tenaga untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Malah, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tidak timbul kegusaran penularan Covid-19 dan Insya-Allah, kita akan hadapi dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas merasmikan majlis edar bubur lambuk secara pandu lalu oleh Jabatan Penyiaran Johor di pekarangan RTM, di sini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 8,000 bungkus bubur lambuk diedarkan secara percuma kepada orang awam membabitkan kos kira-kira RM15,000 yang turut melibatkan penajaan daripada badan-badan korporat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Norlizah berkata, pihak sekolah juga disarankan mengawal dan mengambil kira tahap keselamatan dan kesihatan pelajar itu sendiri pada setiap masa.
Pada Ahad lalu, seramai 130,177 pelajar daripada Kumpulan A melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran.
Bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, ia bermula kelmarin membabitkan 416,000 pelajar.
Ditanya mengenai pemberian vaksin dalam kalangan pelajar, beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan akan berhubung terus dengan pengurusan sekolah mengenai perkara itu.
“Pemberian vaksin ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan semuanya dalam proses penyelesaian,” katanya.
Seramai 487,728 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 13.7 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.
Berdasarkan laman web COVIDNOW, sebanyak 1,425,865 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 40.1 peratus, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,877,332 individu atau 92.5 peratus telah lengkap divaksin, manakala 2,978,531 atau 95.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. –UTUSAN ONLINE