RUU Anti Lompat Parti tangguh, apa dalih lagi? - Utusan Malaysia

RUU Anti Lompat Parti tangguh, apa dalih lagi?

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Apakah lagi dalih atau alasan disebalik penangguhan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan kerajaan pada Isnin ini? Soal Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu berkata, adakah kerajaan hari ini yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob begitu serius untuk mewujudkan kestabilan politik, walhal RUU yang sepatutnya dibentangkan Mac lalu masih tidak menjadi kenyataan.

Beliau berkata, RUU berkenaan sepatutnya menjadi asas agar mandat yang diberikan rakyat dapat dijaga.

“Apakah ada dalih lagi? Seriuskah kerajaan mahukan kestabilan politik? 

“Sekiranya terdapat kelemahan mahupun penyalahgunaan kuasa daripada RUU itu, ia boleh ditambah baik pada masa akan datang.

“Keperluan semasa agar RUU ini dibentang, dibahas dan diluluskan harus menjadi keutamaan supaya maruah negara dapat dikembalikan dan negara ini dapat dilihat sebagai sebuah negara demokrasi yang berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kabinet dikatakan tidak mendapat kata sepakat, malah tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pagi tadi.

Namun, Wan Junaidi menjelaskan, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memudahkan RUU tersebut dibentang pada masa hadapan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN