PETALING JAYA: Datuk Rohana Rozhan yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Tim Leissner secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu, menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber tersebut memberitahu Utusan Malaysia, SPRM kini giat mendapatkan wang tersebut selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad itu bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Proses mendapatkan aset-aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu di sini, semalam.
Leissner yang menjadi saksi pendakwa memberitahu mahkamah di New York dia memberi Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.
Siasatan terhadap 1MDB yang dianggap skandal kewangan terbesar di dunia menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu dicuri pelbagai pihak.
Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.
Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.
Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di AS bertukar sensasi selepas Leissner dalam keterangannya memberitahu dia mempunyai hubungan dengan Rohana.
Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner memetik beberapa nama termasuk Rohana, menjelaskan bahawa hubungan itu sudah berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.
Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.
Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) daripadanya digelapkan pegawai bank itu dan rakan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.
Goldman Sachs pada 2020, bersetuju membayar denda AS$3 bilion (RM12.5 bilion) dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.
Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Roger Ng, yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.
Roger yang juga bekas pegawai bank Goldman Sachs turut didapati bersalah oleh Mahkamah AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada 1MDB.
Keputusan oleh juri di negara berkenaan diumumkan oleh mahkamah di Brooklyn.
Beliau didakwa membantu bekas ketuanya, Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman
Juri mendapati Roger bersalah bagi dua tuduhan berkonspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) dengan merasuah dan memintas kawalan akaun dalaman Goldman, serta satu tuduhan berkonspirasi untuk melaksanakan pengubahan wang.
Pendakwa Raya AS bagi Daerah Timur New York, Breon Peace, menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan untuk kedaulatan undang-undang dan rakyat Malaysia. – UTUSAN










