RM127,000 manfaat 9 masjid, 41 surau - Utusan Malaysia

RM127,000 manfaat 9 masjid, 41 surau

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan buah masjid dan 41 buah surau dalam kawasan Parlimen Segambut menerima sumbangan bersempena bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sumbangan keseluruhan yang bernilai RM127,000 itu diharapkan boleh melancarkan urusan masjid dan surau dalam kawasan itu sepanjang menempuh bulan Ramadan.

“Keseluruhan sumbangan kepada pihak masjid dan surau berjumlah RM127,000. Sejumlah RM5,000 telah pun diberikan kepada setiap masjid manakala RM2,000 akan disalurkan kepada setiap buah surau sejurus sahaja selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Wilayah Persekutuan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM).

“Program ini merupakan acara tahunan pejabat saya setiap kali menjelang bulan Ramadan dan saya berharap sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu mengimarahkan masjid dan surau di sepanjang bulan Ramadan.

“Selain itu juga, program seperti ini membantu mengekalkan hubungan baik antara pejabat saya serta pihak masjid dan surau di dalam Parlimen Segambut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Hannah telah menyampaikan sumbangan 80 set langsir Europa yang disumbangkan oleh Acacia Fabrics.

Beliau mengharapkan supaya sumbangan itu dapat memeriahkan suasana Aidilfitri yang bakal tiba untuk keluarga terpilih B40 di Segambut.

Hannah juga menzahirkan harapannya supaya silaturahim antara semua kaum di Malaysia dapat dieratkan.

“Semoga program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Saya percaya hubungan baik antara kita melangkaui bangsa dan agama mampu membina kesatuan hati yang lebih baik sesama kita,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN