Program Literasi 3M atasi masalah buta huruf banduan - Utusan Malaysia

Program Literasi 3M atasi masalah buta huruf banduan

ABD Rahman Taib (tiga dari kiri) bersama banduan yang telah menguasai kemahiran membaca menerusi Program Literasi Membaca 3M di Penjara Seremban.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penjara Seremban di sini menjadi perintis kepada Program Literasi Membaca 3M (membaca, menulis dan mengeja) bagi membasmi masalah kadar buta huruf dalam kalangan banduan di negara ini.

Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Abd. Rahman Taib berkata, buat julung kalinya, pihak Penjara Seremban bekerjasama dengan syarikat perusahaan sosial, iSina Edutech Sdn. Bhd. dengan menyediakan modul pembelajaran bagi membantu golongan banduan untuk membaca dalam tempoh 20 hari.

“Program Literasi 3M ini pertama kali dilaksanakan dalam penjara dengan Penjara Seremban sebagai perintis melibatkan 113 orang banduan bermula 7 Mac lalu.

“Ia secara langsung dapat membantu banduan daripada keciciran minda, meninggalkan dunia jenayah dan seterusnya mengecapi kehidupan yang lebih berilmu pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Program Literasi Membaca 3M di Penjara Seremban di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif iSina Edutech Sdn. Bhd., Ahmad Latifi Abdul Rahman. 

 Jelas Abd Rahman, program itu juga telah pun dinilai di mana peratusan banduan yang menguasai 3M adalah 105 orang manakala lapan lagi tidak berjaya atas faktor-faktor tertentu yang tidak dielakkan, namun, mereka akan terus dibimbing.

“Bagaimanapun, mereka (banduan) yang berpotensi pada sesi pertama ini akan dilatih sebagai tenaga pengajar untuk menjadi pembimbing rakan sebaya yang akan mengajar banduan yang dikenal pasti menghadapi kesukaran membaca,” katanya.

Menurut beliau, menerusi program tersebut, diharapkan semua banduan di sini mendapat peluang pekerjaan yang baik dan dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat apabila dibebaskan kelak.

Sementara itu, salah seorang banduan buta huruf dikenali sebagai Fuad, 28 berkata, dia hanya mendapat pendidikan sehingga darjah enam dan tidak menguasai kemahiran membaca walaupun pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney. 

“Saya masuk penjara sejak umur 18 tahun dan baru setahun ditempatkan di Penjara Seremban. Di sini saya diberi peluang menyertai Program Literasi Membaca 3M dan syukur dalam tempoh 20 hari saya sudah boleh membaca dengan lancar,” katanya. 

Bagi banduan yang dikenali sebagai Mohd., 56, pula, dia mengakui tidak boleh membaca langsung sebelum ini dan kebolehannya boleh menguasai kemahiran 3M adalah kejayaan terbesar dalam hidupnya. 

“Saya berasa lega malah gembira apabila diberi peluang untuk belajar seperti ini sekali gus memberi manfaat kepada saya selepas keluar daripada penjara ini nanti,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya