pondon hangus

Pondok 25 tahun hangus pagi 3 Ramadan

BILAL Baba mengesat air mata mengenang pondok yang didudukinya hampir 25 tahun musnah terbakar dalam kejadian di Batu 9 1/2 Pantai Kundor, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang warga emas hanya mampu menangis sambil melihat pondok tempatnya berteduh musnah dalam kebakaran di Batu 9 1/2 Pantai Kundor di sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, mangsa, Bilal Baba, 82, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang. 

Menceritakan semula detik cemas itu, Bilal memberitahu, dia menyedari pondoknya terbakar selepas terjaga daripada tidur untuk bersahur.

“Masa terjaga tu, saya nampak api telah merebak ke bahagian langsir dan dalam sekelip mata ia menjadi besar sehingga pondok ini hangus terbakar.

“Saya sempat keluar dan menjerit meminta tolong sambil menangis melihat baju-baju serta duit RM76 terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Bilal berkata, dia mula menetap di pondok tersebut selepas isterinya meninggal dunia kira-kira 25 tahun yang lalu. 

“Saya ada enam orang anak, yang paling dekat menetap di Bukit Darat tetapi saya lebih selesa tinggal di sini seorang diri tidak menyusahkan mereka. 

“Tapi tidak sangka ini ujian untuk saya, apatah lagi baru hari ketiga menyambut Ramadan, selepas ini terpaksalah tinggal di rumah anak-anak,” jelasnya. 

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, panggilan kecemasan diterima pukul 5.39 pagi dan sepasukan lapan anggota serta sebuah jentera bergegas ke lokasi. 

“Setiba di tempat kejadian kita dapati sebuah rumah kecil bersaiz 20 kali 20 kaki telah terbakar hampir 90 peratus.

“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.55 pagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN