Polis belum terima laporan 2,000 ekor babi hilang - Utusan Malaysia

Polis belum terima laporan 2,000 ekor babi hilang

RUSLAN Khalid menyempurnakan pelepasan flag-off bagi Op Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Stesen Petronas Ampangan 2, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis masih belum menerima apa-apa laporan dari mana-mana pihak berhubung insiden 2,000 ekor babi di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang hilang dipercayai dibawa keluar pemilik ladang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pihaknya akan membantu daripada segi siasatan sekiranya diperlukan dan terdapat laporan mengenainya.

“Saya masih belum menerima laporan mengatakan babi itu hilang. Bagaimanapun, sekiranya ada, kami akan memberi kerjasama daripada segi siasatan sekiranya diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Stesen Petronas Ampangan 2, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang susulan insiden tersebut kerana khuatir kesemua babi yang dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa itu akan menimbulkan jangkitan wabak Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

Menurut beliau, ini kerana kesemua haiwan berkenaan sebelum ini berada berhampiran dengan ladang babi yang dikesan dijangkiti dengan ASF.

Oleh itu, pihaknya telah menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri untuk menyiasat dan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Ruslan memberitahu, polis masih memburu seorang lagi banduan tahanan reman iaitu, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia pada 10 April lalu. 

Sementara itu, kata beliau, seramai 3,600 orang anggota polis akan bertugas sepanjang penguatkuasaan Op Selamat di negeri ini yang bermula 29 April ini hingga 8 Mei. 

“Seramai 300 anggota polis dari unit trafik akan bertugas mengawal pergerakan lalu lintas sempena Op Selamat ini. Harapan saya, pengguna dapat mematuhi undang-undang pada musim perayaan ini,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN