Petrol, juadah berbuka percuma kepada 100 penghantar makanan

Petrol, juadah berbuka percuma kepada 100 penghantar makanan

HARGA runcit petrol masih kekal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 100 penghantar makanan dan kurier menerima sumbangan minyak petrol percuma dan juadah berbuka puasa daripada Pemuda UMNO Bahagian Jelutong bagi menghargai sumbangan mereka kepada masyarakat khususnya pada bulan Ramadan ini.

Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program tersebut merupakan yang pertama kali dianjurkan bagi membantu meringankan beban para penghantar makanan dan kurier di sekitar kawasan Jelutong.

”Sebelum ini kita adakan majlis berbuka puasa serta penyampaian sumbangan kepada anak-anak muda, namun tahun ini kita ambil pendekatan baharu.

”Kali ini kita beri sumbangan minyak petrol percuma serta bungkusan juadah kepada para penghantar makanan dan kurier bagi memastikan mereka mudah untuk berbuka puasa di samping menjalankan tugas,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 100 penghantar makanan menerima sumbangan minyak petrol bernilai RM5 itu yang diisi di stesyen minyak Shell Jelutong.

”Pihak pengurusan Shell Jelutong juga sudi bekerjasama dan memberi diskaun 30 peratus bagi setiap pembelian minyak hitam kepada para penghantar makanan ini.

”Kami amat berbesar hati kerana pengurusan Shell Jelutong turut prihatin dan sama-sama menyumbang menerusi program ini,”katanya.

Tambahnya, program seumpama itu akan turut dijalankan dari semasa ke semasa berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada para penghantar makanan.

”Pekerjaan sebagai penghantar makanan cukup mencabar kerana mereka sentiasa mengejar masa dan berada di atas jalan raya di samping berdepan pelbagai risiko bagi memastikan pesanan pelanggan dapat dihantar dengan segera. 

“Adakalanya ada yang tidak sempat berbuka puasa dengan sempurna kerana mengejar masa dan kita menghargai penat lelah mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN