PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada lebih 2 juta penjawat awam dan pesara melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan khas itu adalah sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.
Beliau berkata, bantuan khas sebanyak RM250 juga diberikan kepada pesara kerajaan dengan pembayaran dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April ini.
“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. –UTUSAN ONLINE









