Peniaga mahu berniaga di tapak asal - Utusan Malaysia

Peniaga mahu berniaga di tapak asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sekumpulan peniaga Pasar Sehari Peremba di sini hari ini berhimpun secara aman menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan mereka kembali berniaga di tapak asal di hadapan Pasar Besar berbanding di tempat letak kereta ketika ini.

Peniaga mendakwa, sumber pendapatan harian mereka terjejas akibat perpindahan tapak niaga tersebut sejak dua tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang turun padang ke lokasi itu hari ini berkata, alasan PBT  bahawa kehadiran peniaga di kawasan itu mengganggu laluan orang ramai adalah tidak munasabah.

“Sudah lama mereka berniaga di kawasan ini, di hadapan Pasar Besar sebelum dipindahkan ke tapak meletak kereta dua tahun lepas kerana pandemik. Peniaga akur walaupun pendapatan mereka terjejas di tapak baharu.

“Namun, apabila memasuki fasa endemik dan peniaga kembali ke tapak asal, mereka dihalau dengan alasan gerai mereka itu menganggu laluan orang ramai. Sedangkan tapak tersebut kini dijadikan tempat letak kereta dan tempat letak kereta dijadikan tapak niaga,” katanya di sini hari ini. 

Asmirul yang sudah lama memperjuangkan nasib peniaga itu memberitahu, pihaknya kesal dengan sikap acuh tak acuh pihak terlibat termasuk Datuk Bandar yang sepatutnya prihatin dengan nasib peniaga.

“Dahulu, peniaga mampu meraih pendapatan sehingga RM200 sehari, tetapi, hari ini, RM10 atau RM20 sahaja. Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa berniaga secara bergilir-gilir setiap hari.

“Saya berharap mereka prihatinlah dengan nasib peniaga-peniaga ini. Saya juga sudah membawa isu ini kepada kerajaan negeri dan berharap ia selesai segera,” katanya.

Dalam pada itu, menurut salah seorang peniaga Noh Ahmad, 33, peniaga tersebut berharap untuk kembali ke tapak asal ekoran pendapatan terjejas teruk akibat perpindahan tapak niaga itu.

“Saya sudah enam tahun berniaga di kawasan ini dan pendapatan kami memang terjejas teruk dahulu di tapak asal jualan walaupun hari biasa kita dapat RM100 hingga RM150 sehari.

“Sekarang, bila pindah ke tapak parking jualan cuma RM10 ke RM20 sahaja. Itu pun kalau nasib baik kalau tak memang tak ada jualan langsung. Orang ramai tak suka datang ke sini sebab agak jauh dari pasar selain panas terik,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, sistem penggiliran yang diberikan kepada peniaga menambah perit nasib mereka.

“Sekarang, peniaga dalam 70 hingga 80 orang dan kami terpaksa bergilir hari ini 30 peniaga, esok, peniaga lain pula,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN