Penduduk desak Depot Imigresen Sementara Relau ditutup - Utusan Malaysia

Penduduk desak Depot Imigresen Sementara Relau ditutup

NORSABRINA Mohd. Noor (dua kanan) memberi nasihat kepada penduduk supaya menjaga keselamatan selepas tahan Rohingya meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Kampung Paya Semambu, Bandar Baharu, hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Demi menjaga keselamatan dan keamanan, kira-kira 3,000 penduduk di mukim Relau di sini meminta kerajaan menutup segera depot imigresen sementara yang menempatkan tahanan etnik Rohingya di kawasan tersebut .

Hal ini kerana kejadian tahanan etnik Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari depot imigresen itu pada Rabu lalu menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya berlaku insiden lebih buruk selepas ini.

Seorang penduduk, Surihani Hussin, 49, dari Kampung Sungai Rambai berkata, tindakan itu wajar diambil memandangkan kedudukan depot tersebut didapati tidak sesuai kerana terletak di kawasan kampung.

Katanya, keadaan tersebut membahayakan penduduk sekiranya tahanan terbabit melakukan bertindak di luar batasan seperti mengancam nyawa mereka.

“Kebanyakan penduduk berpendapat depot imigresen itu wajar ditutup dan tahanan Rohingya dipindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai,” katanya ketika ditemui di Relau di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4 pagi, Rabu lalu, seramai 528 tahanan Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau dan enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri.

Jumlah keseluruhan tahanan yang berada di depot imigresen itu ketika kejadian seramai 664 orang.

Seorang lagi penduduk, Sharifah Rosinita Syed Mahzan, 49, dari Kampung Padang pula berkata, penduduk berharap kerajaan dapat meningkatkan tahap keselamatan dengan memastikan tahanan yang masih berada di depot imigresen itu tidak meloloskan diri lagi selepas ini.

Bagaimanapun, katanya, langkah yang patut diambil oleh kerajaan adalah menutup depot imigresen tersebut untuk memastikan penduduk tidak berada dalam ketakutan lagi.

“Selepas kejadian itu, penduduk berada dalam ketakutan termasuk tidak berani membiarkan anak-anak mereka bermain di luar rumah.

“Baki tahanan Rohingya yang masih bebas itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, beliau menasihatkan penduduk kampung supaya membantu pihak berkuasa memburu dan menangkap tahanan Rohingya yang masih bebas itu.

Jelasnya, penduduk diminta menghubungi polis dengan segera sekiranya terdapat kelibat tahanan terbabit berada di kawasan kampung dan taman perumahan mereka.

“Penduduk juga dinasihatkan supaya simpan rasa simpati kepada tahanan terbabit yang kemungkinan mengharap bantuan penduduk melarikan diri,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN