PETALING JAYA : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kejayaan enam pelajar Malaysia yang diterima masuk ke salah sebuah universiti terkemuka di dunia, Universiti Harvard pada tahun ini merupakan pencapaian membanggakan untuk negara ini.
Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada enam pelajar berjaya tersebut iaitu Chooi Je Qin dari Johor, Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Carisma Michaela Wong dari Sabah manakala Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur dan Alyssa Yap Xin Yi dari Sarawak.
Beliau kemudian berharap keenam-enam pelajar itu dapat menamatkan pengajian di pusat pengajian itu pada 2026 dan beroleh kecemerlangan dalam bidang diceburi.
“Tahniah saya ucapkan kepada enam pelajar muda tanah air yang akan menjejakkan kaki ke Harvard College, sekolah peringkat sarjana muda bagi Universiti Harvard yang merupakan universiti terkemuka dunia,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Kelmarin, media melaporkan enam pelajar Malaysia mencipta sejarah apabila diterima masuk ke salah sebuah universiti terkemuka di dunia, Universiti Harvard tahun ini sekali gus merupakan rekod tertinggi dari negara ini bagi kemasukan ke universiti tersebut berbanding tahun sebelumnya.
Hal ini kerana sebelum ini, maksimum hanya dua pelajar dari Malaysia atau tiada langsung yang diterima masuk ke universiti tersebut, tambahan pula mereka juga menewaskan permohonan seramai 61,220 pelajar dari seluruh dunia.
Ia merupakan pencapaian luar biasa kerana kadar penerimaan Harvard tahun ini adalah kadar terendah dalam sejarah universiti tersebut iaitu sebanyak 3.19 peratus.
Mereka dijangka melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang iaitu astrofizik, biokimia, ekonomi, sains alam sekitar dan dasar awam, politik, dan sosiologi. –UTUSAN ONLINE