Penaja pentingkan SPM

Penaja pentingkan SPM

Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi dasar standard pendidikan negara didakwa menyekat potensi golongan genius.

Sistem tersebut bukan sahaja didakwa sekadar memberi tumpuan mengasah daya hafal pelajar semata-mata, malah ia turut menyekat peluang mana-mana golongan genius untuk mendapatkan biasiswa bagi menyambung pengajian ke luar negara.

Pengarah Kolej GENIUS@Pintar Negara (KGPN) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof memberitahu Utusan Malaysia, ini kerana penaja biasiswa rata-ratanya mengutamakan pelajar yang cemerlang dalam SPM.

Sedangkan katanya, pelajar di pusat itu bukan sahaja diwajibkan menduduki SPM, malah mereka juga perlu menduduki peperiksaan High School Diploma (HSD) yang ditambah nilai dengan kursus-kursus beraras tinggi.

Namun kata Rorlinda, ke­semua kursus tambahan ini tidak dinilai di peringkat SPM.

“Sememangnya SPM menyekat pelajar pintar yang me­rupakan pelajar berkebolehan tinggi, sedangkan universiti luar negara memerlukan pelajar sebegini yang boleh berfikir di luar kotak serta kreatif menyelesai masalah menerusi pembelajaran dan kajian mendalam.

“Mereka bukan menghafal fakta dan memuntahkan semula mengikut skema-skema yang ditetapkan. Ini menjadikan kurikulum HSD di KGPN adalah lebih tinggi daripada kurikulum di peringkat SPM.

“Namun, rata-rata pihak penaja biasiswa menjadikan kecemerlangan SPM sebagai salah satu syarat untuk mendapatkan penajaan biasiswa melanjutkan pelajaran ke universiti khususnya di luar negara,” katanya di sini.

Rorlinda berkata, keadaan ini menyukarkan pelajar lepasan KPGN untuk mendapatkan peluang pembiayaan disebabkan keputusan SPM sebagai syarat menerima biasiswa

“Oleh kerana kebanyakan pembiayaan biasiswa dalam negara menggunakan SPM cemerlang sebagai syarat penawaran biasiswa, maka keadaan ini tidak menyokong pelajar-pelajar pintar lepasan KGPN untuk menyambung pengajian ke universiti luar.

“Sedangkan mereka telah mendapat tawaran tempat pengajian untuk terus ke tahun satu ijazah sarjana muda di universiti pilihan mengikut kecenderungan minat dan bakat mereka,” katanya.

Justeru, Rorlinda menyeru kerajaan supaya merangka mekanisme yang berkesan bagi membantu kumpulan pelajar genius ini, demi mengelakkan bakat mereka disia-siakan.

“Perkara ini perlu ditangani segera supaya sejarah brain drain pelajar pintar yang berhijrah ke luar negara, seperti yang pernah berlaku dalam negara ini tidak berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN