KUALA LUMPUR : UMNO tidak akan mengambil sebarang tindakan dalam isu Pasleak bagi mendapatkan penjelasan daripada dua pemimpinnnya yang nama mereka disebut dalam butiran dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Dua pemimpin tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bukan suatu perkara yang memeranjatkan, malah tidak terkejut jika ada mana-mana pihak yang membuat penafian.
“Tiada tindakan, apa sebab nak ambil tindakan? Sebab ini adalah realiti skema politik. Kenapa saya nak pergi menyemak? Tidak perlulah.
“Setakat ini tiada tindakan terhadap siapa pun sebab ia bukan memeranjatkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sejak beberapa hari lalu, keratan minit mesyuarat serta agenda untuk menjatuhkan pemimpin UMNO termasuk mempercepatkan hukuman terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tular di media sosial.
Antara kandungan lain ialah rancangan mengenai tindakan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan mengaitkannya dengan kluster mahkamah.
Beberapa watak utama didakwa terlibat dalam plot menjatuhkan UMNO ketika ini ialah Datuk Seri Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa individu lagi.
Dalam keratan itu juga, didakwa pertemuan antara Samsuri Mokhtar dan Takiyuddin telah dibuat pada 4 April lalu bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin di kediamannya dengan menyebut ‘maklumkan Datuk Seri Tajuddin ada jumpa dan minta Larut (Hamzah) untuk membantu buat ‘move’ politik dalam UMNO . Tajuddin mengakui nyawa politik UMNO bergantung kepada Bersatu.
Pada 7 April pula, didakwa pertemuan dua pemimpin Pas itu juga dibuat bersama Hishammuddin di kediamannya bagi membincangkan beberapa perkara, termasuklah isu Perdana Menteri mesti membentuk kerjasama tiga parti untuk menghadapi Pilihan Raya ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, perkara ini telah dinafikan Ahmad Samsuri dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’ sekali gus menegaskan dokumen palsu itu bertujuan memfitnah Pas serta PN.
“Penafian bukan satu perkara yang memeranjatkan, bukan begitu,” soal Ahmad Maslan lagi. – UTUSAN










