PETALING JAYA: Orang ramai tidak boleh memandang ringan jangkitan Covid-19 walaupun prosedur operasi standard (SOP) diberi kelonggaran tertentu.
Pengerusi Pasukan Sukarelawan Komuniti (Penglibatan dan Pemerkasaan) Melawan Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, masyarakat tidak boleh memandang ringan keadaan tersebut sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi belum mengisytiharkan pandemik Covid-19 sudah berakhir kerana masih terdapat kemungkinan wujud varian-varian baharu pada masa hadapan.
“Kerajaan beri kita pilihan untuk memakai pelitup muka atau tidak di kawasan tertentu tetapi kita sebagai masyarakat tetap kena lihat pada risiko diri supaya tidak dijangkiti wabak tersebut.
“Langkah pendekatan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan adalah bagus kerana dalam masa yang sama ia masih berhati-hati. Orang ramai perlu faham dan tahu sendiri akan keadaan diri mereka sama ada berisiko atau tidak, jangan buang pelitup muka itu terus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan beberapa kelonggaran dalam SOP antaranya tidak mewajibkan pelitup muka di tempat terbuka dan imbasan MySejahtera bermula 1 Mei ini.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh menasihati orang ramai untuk tidak leka semasa menyambut Aidilfitri.
Jelasnya, jika mempunyai sintom seperti demam atau selsema masyarakat perlu mengambil inisiatif sendiri dengan memakai pelitup muka walaupun berada di kawasan luar dan lapang sebagai langkah berhati-hati.
“Kalau kita mempunyai risiko seperti inmun badan rendah seperti ada kencing manis teruk atau sedang menjalani rawatan kanser pun turut memerlukan pemakaian pelitup muka supaya melindungi dan mengelak orang lain terjangkiti.
“Walaupun kita sudah berada di dalam fasa endemik, ia tidak bermakna wabak ni sudah selamat kerana ia masih boleh menyebabkan kemasukan ke wad atau kematian.
Jadi perlu berhati-hati khususnya pada hari perayaan bakal tiba,” ujarnya. – UTUSAN










