ALOR GAJAH: Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan negeri didakwa hanya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu pampasan berjumlah RM5.4 juta, projek mega Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).
Pengerusinya, Mazelan Bakar berkata, pihaknya kini buntu setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk mengutus surat kepada Pejabat Ketua Menteri dan membawa isu ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelasnya, mengikut perjanjian asal, wang pampasan sepatutnya diserahkan terus kepada PNKMB untuk diagihkan kepada 265 ahli yang berdaftar, tetapi, pemaju pula diarahkan agar pampasan dan sumbangan kepada nelayan mesti melalui kerajaan negeri.
“Tahu sahajalah bila hendak berurusan dengan kerajaan negeri, banyak meja (birokrasi) kena lalui. Saya difahamkan pemaju sebenarnya telah serahkan lebih RM17 juta kepada kerajaan negeri termasuk pampasan RM5.4 juta yang telah dibayar pada Ogos tahun lepas.
“Kerajaan negeri sudah dapat banyak wang daripada pemaju, mengapa mahu ‘merompak’ pampasan kami?. Serahkan segera hak kami kerana pendapatan nelayan di Melaka Barat terjejas 50 peratus sejak lima tahun lalu.
“Para nelayan berharap sangat mereka dapat pampasan sebelum Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar berhubung bantahan isu pampasan PNKMB di sini hari ini.
Tambah Mazelan, lebih mengecewakan apabila kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang menukar status pampasan kepada sagu hati.
Menurutnya, kenyataan tersebut sangat merobek hati komuniti nelayan yang telah berjuang hampir dua tahun untuk mendapatkan pampasan demi kelangsungan hidup mereka.
“Sejak beliau dilantik sebagai exco, tidak pernah sekali turun padang bertemu nelayan di kawasan Melaka barat. Pemaju yang bayar pampasan itu pun dikatanya salah faham termasuklah kami para nelayan.
“Kami ada bukti dan surat menyurat termasuk keratan akhbar yang jelas menyatakan RM5.4 juta adalah pampasan dan bukan sagu hati. Kami tidak mahu terima sagu hati, sebaliknya akan terus memperjuangkan hak untuk bayaran pampasan,” ujarnya.
Sementara itu, Mazelan merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selepas kerajaan negeri menafikan hak mereka.
“Kami tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu selepas kerajaan negeri sendiri pun menidakkan hak kami,” katanya. –UTUSAN ONLINE