Negeri Sembilan catat kes pertama demam babi Afrika

Negeri Sembilan catat kes pertama demam babi Afrika

BAKRI Sawir (kiri) dan Redzuan dalam sidang akhbar di Seremban, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) atau penyakit Demam Babi Afrika apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson semalam. 

Dua kes positif itu disahkan telah menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kes tersebut pada 7 April lalu. 

“Pihak kami telah mendapat maklumat lewat petang pada 7 April lalu dan dua sampel telah diambil. Pada 8 April (semalam) pihak kami telah menerima keputusannya iaitu dua kes positif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. 

“Bagaimanapun, ia sudah dikawal dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri telah mengambil tindakan yang proaktif dengan menyita kawasan itu dan memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Bakri, sebanyak 275 ekor babi yang berada di ladang berkenaan juga telah diasing dan akan dilupuskan dalam masa terdekat. 

“Kami agak khuatir sekiranya lewat mengambil tindakan haiwan yang lain akan turut dijangkiti. Semua babi tersebut akan dilupuskan segera bagi mengelakkan jangkitan merebak. 

“Selain itu, saya juga telah memohon bantuan daripada pihak polis untuk memantau pergerakan keluar masuk di kawasan ladang tersebut bagi mengelakkan ia tidak merebak ke lokasi lain,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr. Redzuan Ibrahim menjelaskan, virus ASF tidak boleh menjangkiti kepada manusia. 

“Virus ini terhad kepada babi sahaja. Bagaimanapun, penyakit ini merebak sangat cepat bukan sahaja antara haiwan dengan haiwan tersebut namun lalat yang berada di kawasan itu juga boleh membawa virus berkenaan. 

“Apabila haiwan tersebut yang sakit (terkena virus) ini, daging dan darah juga mempunyai kandungan virus yang tinggi yang boleh merebak ke ladang lain,” katanya yang turut menasihatkan kepada peternak agar berhati-hati sekiranya ada pihak yang cuba menjual babi di bawah harga pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya