JOHOR BAHRU: Seorang lelaki melecur sehingga 70 peratus selepas sebuah tong gas LPG di rumahnya meletup dalam kejadian di Taman Johor Jaya, hari ini.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saifulbahri Safar berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 12.45 tengah hari.
Katanya, anggota beserta empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan Tebrau dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian yang merupakan sebuah rumah teras dua tingkat, didapati seorang lelaki berusia 49 tahun cedera dan sebahagian rumah terbakar akibat tong gas LPG yang meletup.
“Api kebakaran berjaya dipadamkan manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Saifulbahri, operasi berkenaan tamat pada pukul 1.41 petang. – UTUSAN