SETIU: Mayat guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh yang hilang ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Kampung Mangkuk di sini kelmarin ditemukan tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohd. Razli Rapiae berkata, mayat Sugani Yasin, 51, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat pada pukul 12.22 tengah malam, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, Jumaat lalu, Sugani merupakan antara empat mangsa yang dihanyutkan arus deras ketika memukat ikan bersama rakan-rakannya.
Bagaimanapun, tiga berjaya diselamatkan. – UTUSAN










