Malaysia perlu nyatakan pendirian tegas, jelas isu etnik Uyghur - Utusan Malaysia

Malaysia perlu nyatakan pendirian tegas, jelas isu etnik Uyghur

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu mencari jalan untuk menyatakan pendirian negara yang lebih jelas dan tegas dalam menyelesaikan isu penindasan etnik minoriti Uyghur di Xinjiang ketika dunia Islam lain mengambil pendekatan berdiam diri. 

Pengasas institut pemikir Bait Al-Amanah, Dr. Abdul Razak Ahmad berkata, namun, pada masa sama, ketegasan itu perlu dibuat secara bijaksana, berhati-hati dan seimbang agar tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan China memandangkan negara berkenaan mempunyai hubungan istimewa, akrab dan bermanfaat.   

Bagaimanapun, katanya, pengaruh besar Malaysia yang secara konsisten mengkritik pelanggaran hak asasi manusia dan kepentingan ummah terutama melibatkan isu Bosnia and Herzegovina, Palestin, Syria atau Afrika Selatan boleh dijadikan asas pendekatan untuk menyatakan pendirian sama dalam isu etnik Uyghur.

“Malaysia mempunyai peranan sangat besar dan penting dan ia sesuai dengan dasar luar kita yang sangat utamakan kepada keadilan dan pemeliharaan hak asasi manusia.

“Walaupun kita tidak pernah menyokong pendirian China atau secara jelas mengkritik negara itu, namun, kita boleh mengambil pendekatan lebih sederhana, tidak seperti pendirian terhadap isu lain di Palestin atau Syria,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu penindasan etnik itu hangat diperdebatkan susulan laporan media barat yang mendedahkan ‘bukti-bukti’ penggunaan kekerasan dan layanan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik itu oleh kerajaan China.

Abdul Razak berkata, Malaysia berupaya melaksanakan lebih banyak tindakan untuk memperjuangkan hak masyarakat Uyghur, tidak hanya mengambil pendekatan tidak menghantar pulang masyarakat itu yang berada di negara ini.

Apatah lagi, katanya, Malaysia merupakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka, negara perlu lebih terkehadapan dalam membantu menyelesaikan isu berkenaan walaupun sukar untuk dilakukan atas dasar persahabatan dua negara. 

“Saya hargai dan tahu kesukaran kerajaan dalam melakukan perkara ini, dalam masa menjaga aliran perdagangan dan menggalakkan pelaburan, kita tidak boleh kecundang dalam mempertahankan kepentingan umat Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan, isu berkenaan ditangani di pelbagai peringkat antaranya melalui sesama parti politik sekali gus boleh menggunakan peluang itu untuk menzahirkan pandangan rakyat Malaysia agar ada perubahan boleh dilaksanakan.

Pada masa sama, katanya, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai Wakil Khas dalam menyuarakan isu Islamofobia agar dapat ditangani bukan sahaja di peringkat bilateral, malah, di peringkat universal.

“Kita tidak minta Kerajaan China berubah serta-merta, tetapi, kita percaya China sebagai sebuah negara progresif dan moden selain mahu menjadi sebahagian kuasa besar dunia boleh bersikap optimis dan saya pasti, mereka bersedia untuk berubah jika kita konstruktif,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN