Lima pelajar Malaysia diterima masuk Harvard tahun ini - Utusan Malaysia

Lima pelajar Malaysia diterima masuk Harvard tahun ini

LIMA pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Universiti Harvard tahun ini. Dari kiri atas, Ishant Shah dan Herman Leong Xin Yang. Dari kiri bawah, Lee Ee Jenn, Chooi Je Qin dan Carisma Michaela Wong. -Sumber gambar: Wan Nadiah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima pelajar Malaysia mencipta sejarah apabila diterima masuk bersama-sama ke salah sebuah universiti berprestij dunia, Universiti Harvard tahun ini.

Ini adalah jumlah tertinggi bilangan pelajar dari Malaysia yang diterima masuk ke Harvard pada tahun yang sama, setelah menewaskan permohonan seramai 61,220 pelajar dari seluruh dunia.

Ia merupakan pencapaian luar biasa kerana kadar penerimaan Harvard tahun ini adalah kadar terendah dalam sejarah universiti tersebut iaitu sebanyak 3.19 peratus.

Kelima-lima pelajar tersebut terdiri daripada Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Chooi Je Qin dari Johor, Carisma Michaela Wong dari Sabah dan Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur.

Herman merupakan pelajar A-Level di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) di bawah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam manakala Carisma merupakan pelajar A-Level di KYUEM melalui biasiswa Yayasan Khazanah.

Je Qin pula mengikuti A-Level di sekolah antarabangsa, Kolej Tuanku Ja’afar di Negeri Sembilan, Ishant kini mengikuti Program Matrikulasi Antarabangsa Kanada di Kolej Sunway dan Ee Jenn merupakan pelajar A-Level di Garden International School.

Kelima-lima pelajar itu merancang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang iaitu astrofizik, biokimia, ekonomi, sains alam sekitar dan dasar awam, politik, dan sosiologi. 

Kesemua mereka akan menamatkan pengajian di Harvard pada 2026.

Alumni pelajar Harvard, Wan Nadiah Wan Mohd. Abdullah Yaakob meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan lima pelajar Malaysia diterima masuk ke universiti itu.

“Kami sangat gembira apabila lima pelajar Malaysia memecahkan rekod diterima ke Kolej Harvard dalam satu tahun. Paling banyak dua pelajar yang diterima masuk setiap tahun dan kadangkala tiada,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Nadiah yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara turut kagum dengan kepintaran kelima-lima pelajar tersebut.

“Sebagai contoh, Je Qin terlibat dalam pelbagai Olimpik Astrofizik dan Astronomi. Ishant ialah pemain skuasy negara. Herman mempunyai pengetahuan luas dalam bidang biologi. Carisma mengadakan penyelidikan mengenai sejarah Sabah dan Ee Jenn mewakili Malaysia dalam pertandingan debat.

“Melihat latar belakang mereka, jelas bahawa tidak ada seorang pun merupakan pelajar Harvard tipikal, walaupun mereka semua berkongsi dedikasi untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang yang mereka minati,” katanya.

Keluarga yang berpendapatan di bawah AS$75,000 (RM316,000) setiap tahun tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, sebaliknya akan ditaja sepenuhnya oleh Harvard.

Justeru, dua lagi alumni pelajar Harvard, Nick Khaw dan Jacintha Tagal menyeru semua pelajar di Malaysia agar turut mencuba nasib di Harvard.

“Malaysia mempunyai bakat luar biasa dan memandangkan soal kewangan bukan penghalang untuk menyertai Harvard, kami ingin menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia untuk memohon,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya