Lelaki disyaki dera anak tiri turut nodai kakak mangsa - Utusan Malaysia

Lelaki disyaki dera anak tiri turut nodai kakak mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki yang ditahan selepas disyaki mendera anak tiri perempuannya berusia tiga tahun sehingga meninggal dunia pada Khamis lalu dipercayai turut menodai kakak mangsa berusia empat tahun.

Menurut sumber, perkara itu terbongkar setelah kanak-kanak tersebut menjalani pemeriksaan di Bahagian Kecemasan, Hospital Jitra dekat sini semalam berikutan kematian adiknya yang disyaki didera itu.

Menurutnya, doktor yang membuat pemeriksaan memaklumkan menemui kesan koyakan pada alat sulit dan dubur kanak-kanak tersebut.

“Usaha untuk mendapatkan keterangan daripada mangsa bagaimanapun agak sukar kerana dia lebih banyak berdiam diri dan masih berada dalam keadaan trauma.

“Selain koyakan pada alat sulit dan dubur, pemeriksaan turut menemukan kesan cakar pada muka, badan serta kesan gigitan di telinga dan bahu. Terdapat juga parut lama akibat dicucuh puntung rokok di paha dan betis mangsa,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan mengenai penahanan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak tersebut berusia 26 dan 22 tahun, berikutan kematian adik mangsa berusia tiga tahun.

Sumber itu menambah, kedua-dua kanak-kanak perempuan itu mempunyai seorang abang sulung berusia enam tahun yang turut tinggal bersama ibu kandung serta bapa tirinya itu.

“Kanak-kanak itu dan saksi akan dirujuk untuk menjalani kaunseling berikutan situasi dan keadaan dihadapi mereka sebelum ini,” katanya.

Difahamkan ibu kandung dan bapa tiri mereka baru berkahwin beberapa bulan lalu. Kedua-duanya didapati negatif dadah namun ibu kandung kanak-kanak terbabit memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes mencuri motosikal.

Setakat ini pasangan tersebut ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN