PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) merayu orang ramai melaporkan kepada stesen minyak jika ternampak warga asing yang membeli petrol RON95 yang disubsidikan untuk rakyat tempatan.
Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, kerjasama dan keprihatinan orang ramai adalah lebih baik daripada tindakan menularkan atau menghantar gambar ke dalam media sosial.
Katanya, tindakan proaktif itu amat diperlukan bagi menghentikan kegiatan warga asing yang membeli RON 95 tanpa disedari oleh pengurusan stesen minyak.
“Sekarang, warga Singapura menggunakan kad kredit, jadi mereka boleh secara mudahnya mengisi petrol jenis RON95 daripada pam, tetapi sememangnya kalau juruwang nampak, mereka akan hentikan.
“Pengusaha memang kalau boleh mahu jual petrol RON97 disebabkan jualannya yang terlampau rendah dan kos membelinya pula tinggi, jadi memang tak logik kalau nak galakkan orang Singapura mengisi petrol RON95,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan, ketika pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka kembali pada 1 April, isu lama yang membangkitkan kemarahan pihak berkuasa dan rakyat Malaysia timbul kembali apabila pemandu Singapura membeli petrol bersubsidi RON95 di negara ini.
Namun, tindakan penguatkuasaan berhubung kenderaan pendaftaran asing yang mengisi minyak petrol jenis RON95 hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak dan bukan individu warga asing yang berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, PDAM amat mengharapkan satu akta dapat digubal bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang membeli petrol bersubsidi itu.
Ujarnya, penggubalan akta itu amat penting dengan kerjasama mana-mana kementerian bagi membolehkan perkara ini tidak berulang lagi, dan hanya pengusaha dikenakan tindakan. – UTUSAN










