Ketuk-ketuk sahur 10 malam terakhir

Ketuk-ketuk sahur 10 malam terakhir

PENDUDUK memalu gendang dan kompang sambil menyanyi dalam program ketuk-ketuk sahur di Pengkalan Rama Pantai, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bagi penduduk Pengkalan Rama Pantai dekat sini, kedatangan Ramadan seperti tidak sempurna tanpa mendengar nyanyian dan paluan gendang mengejutkan mereka menjelang waktu sahur.

Maka tidak hairanlah, ketuk-ketuk sahur yang sudah menjadi tradisi sejak 92 tahun kekal diteruskan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Ketuanya, Jeffri Yusof berkata, walaupun tidak diketahui secara tepat sejarah tradisi itu, dia mendapat maklumat ia telah bermula sejak 1930 lagi.

Katanya, ketuk-ketuk sahur adalah aktiviti yang sememang­nya dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk kampung berkenaan, malah, mereka tidak menganggap ia sebagai mengganggu kerana bunyi bising.

“Tradisi ini sangat unik dipelopori sewaktu zaman datuk, nenek dan moyang kami serta masih diteruskan oleh penduduk sehingga hari ini.

“Dulu mereka yang terlibat boleh dihitung dengan jari, namun, sekarang, ia melibatkan seluruh penduduk tak kira usia.

“Ketuk-ketuk sahur kita jalankan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Apabila tiba waktunya antara 30 hingga 40 penduduk turun berkumpul untuk menjalankan aktiviti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jeffri berkata, pelbagai alatan muzik tradisional digunakan seperti gendang ibu dan anak, gong, tamborin serta kompang.

Katanya, aktiviti itu bermula pukul 2 hingga 5 pagi apabila kesemua mereka yang terlibat berkumpul di sebuah rumah milik Saiful Maidin.

“Dari situ kami akan mula bergendang dan menyanyikan beberapa buah lagu seperti Bangun Sahur, Ali Baba Bujang Lapok, Hari Raya Aidilfitri dan banyak lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN