LANGKAWI: Kerajaan negeri memandang serius insiden seorang pelajar lelaki dipukul beramai-ramai di dalam kelas sebuah sekolah menengah di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, insiden ini tidak seharusnya berlaku pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Kita akan berbincang dengan Pengarah Pendidikan negeri bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.
“Pihak sekolah, termasuk guru, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), serta Pejabat Pendidikan daerah perlu berikan lebih banyak pendidikan mengenai isu ini kepada pelajar supaya mereka lebih memahami keburukan membuli,” katanya apabila dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, insiden tersebut tidak wajar berlaku kerana pelajar terlibat dibesarkan dengan adab Melayu yang tidak menyokong keganasan.
Tambahnya, di dalam video tersebut, jelas kelihatan nama sekolah pelaku dan mangsa yang pastinya akan mencacatkan imej sekolah dan pelajar itu sendiri.
“Mereka seharusnya berpuasa, bukan sahaja puasa makan, puasa kaki, puasa tangan dan menghormati bulan Ramadan,” ujarnya.
Hari ini, tular satu video yang menunjukkan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini dipercayai menjadi mangsa buli apabila dipukul beramai-ramai oleh hampir 10 pelajar lain.
Rakaman tersebut menunjukkan mangsa dipukul pelajar lain secara beramai-ramai selain turut dibaling meja di kepalanya. –UTUSAN ONLINE