PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan akan mengumumkan kelonggaran terhadap beberapa prosedur operasi standard (SOP) pada hari Rabu ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau juga memaklumkan tentang perancangan Kementerian Kesihatan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri, tentang perancangan Kementerian Kesihatan, nanti hari Rabu saya akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga lima beradik di Bandar Sunggala di sini yang menjadi yatim piatu tahun lalu selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua UMNO Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli.
Semalam, Perdana Menteri berkata, pengumuman kelonggaran SOP dalam masa terdekat oleh Kementerian Kesihatan dijangka berhubung pemakaian pelitup muka, penggunaan imbasan MySejahtera selain ujian pengesanan Covid-19 di lapangan terbang.
Sementara itu, Khairy berkata, kes kehilangan ibu bapa dan ahli keluarga akibat Covid-19 sebelum ini perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.
“Sudah banyak bantuan diberikan kerajaan kepada khususnya anak-abak yatim yang telah hilang ibu bapa akibat Covid-19, tetapi kita kena terus beri perhatian kepada mereka.
“Ini adalah kesan daripada Covid-19, hilang ibu bapa dan sebagainya, ambil iktibar, supaya nanti masa pembukaan kita, dibuat secara berhati,-hati dan perlahan,” katanya. –UTUSAN ONLINE