'Kalau Norhizam nak jadi ahli biasa, dipersilakan' - Ab. Rauf

‘Kalau Norhizam nak jadi ahli biasa, dipersilakan’ – Ab. Rauf

RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: UMNO sudi menerima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, namun sebagai ahli biasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, parti itu mengalu-alukan Norhizam sekiranya ingin menyertai semula tanpa sebarang syarat. 

Tegasnya, bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu sama sekali tidak akan dipertimbangkan memikul apa-apa tanggungjawab bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Jadi semalam kita telah melihat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah menolak pinangan (Norhizam) dan memutuskan bahawa tidak sama sekali untuk menerima beliau kembali. 

“Begitu juga dengan UMNO, kita tutup serapat-rapatnya pintu apa yang beliau inginkan (bertanding di kerusi Parlimen pada PRU-15) tetapi saya mengalu-alukan kalau nak jadi ahli biasa, dipersilakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini semalam. 

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Norhizam atau lebih dikenali ‘YB Viral’ kini mengintai peluang untuk bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dalam PRU15.

Beliau bagaimanapun turut mengakui perlu bergerak atas tiket parti kerana tidak mahu mengulangi episod kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai calon Bebas.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf memberitahu, UMNO  ternyata mempunyai barisan tokoh kepemimpinan beserta nilai kesetiaan yang diperlukan setiap parti. 

“Apa perlunya beliau berada (bertanding) kerana beliau telah diuji tiada kesetiaanya untuk bersama-sama dengan kita semasa menghadapai PRN Melaka baru-baru ini. 

“UMNO mempunyai tokoh-tokoh jauh lebih baik daripada Norhizam,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN