Jualan sektor peruncitan melonjak 90 peratus - Utusan Malaysia

Jualan sektor peruncitan melonjak 90 peratus

AMEER ALI MYDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan sektor peruncitan terutama melibatkan barang keperluan seperti makanan dan pakaian merekodkan keuntungan memberangsangkan apabila semua rangkaian perniagaan tersebut melonjak sehingga 90 peratus sejak minggu lalu selepas orang ramai menerima pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dan bantuan kewangan yang diberikan oleh sektor swasta, kerajaan Pusat dan negeri.

Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, peningkatan jualan tersebut secara tidak langsung meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.

Bagaimanapun, menurut beliau, kebanyakan peruncit terpaksa berdepan dengan keuntungan sedikit susulan kenaikan harga barang ketika ini, namun peniaga bersyukur dengan peningkatan hasil jualan selepas dua tahun perniagaan suram akibat pandemik Covid-19.

“Sektor perniagaan meriah menjelang Aidilfitri apabila orang ramai berpusu-pusu di pusat perniagaan dan pasar-pasar, jadi kita berterima kasih kepada kerajaan sebab luluskan KWSP dan bantuan raya untuk membolehkan orang berbelanja.

“Kita boleh lihat semua orang dalam mood berbelanja untuk balik kampung selepas dua tahun dikenakan sekatan. Tetapi disebabkan kenaikan harga, untung kita pun kurang sedikit, namun kita amat bersyukur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Ameer yang juga Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad berkata, kekurangan pekerja masih menjadi masalah besar kepada sektor peruncitan dan perniagaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mempercepatkan kelulusan membawa masuk buruh bagi mencukupkan pekerja.

“Kita sedia maklum budak tempatan hanya mahu buat kerja-kerja pejabat, jadi macam mana pun kerajaan kena cepatkan kelulusan untuk buruh asing.

“Di Mydin sendiri, saya kekurangan 30 hingga 40 peratus pekerja. Ada kata buka kaunter, tetapi tak ada pekerja, semua itu berlaku sebab tak cukup pekerja.

“Jadi sayanglah apabila orang sudah berbelanja, kita tidak dapat berikan perkhidmatan terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang menyarankan pengguna untuk kekal berjimat dalam setiap aspek perbelanjaan untuk kegunaan masa depan.

Katanya, ini kerana tiada siapa yang dapat meramal apa yang bakal terjadi pada masa hadapan terutama dalam keadaan wabak Covid-19 masih berlaku.

“Memang berbelanja itu tidak dapat dielakkan, tetapi berbelanjalah dengan berbaloi dan simpan juga untuk masa depan.

“Kita cuma risaukan masalah akan berlaku selepas sambutan raya nanti apabila poket kosong, tetapi hidup perlu diteruskan. Masa itu mahu sedih pun sudah terlambat.

“Keadaan wabak ketika ini juga masih tidak begitu cerah untuk ekonomi tumbuh dengan baik, nanti apabila ada sekatan pergerakan kembali, kita juga yang susah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN