PETALING JAYA : Penubuhan Jawatankuasa Kabinet melindungi Golongan Rentan bertujuan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan di negara ini termasuk jagaan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, pusat tahfiz dan sebagainya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan, ia bertujuan merangka pendekatan yang holistik bagi memastikan kebajikan golongan tersebut dilindungi daripada dimanipulasi, pengabaian serta penganiayaan.
“Menerusi Jawatankuasa ini yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai sekretariat.
“Kelak diharapkan dapat mengatasi isu-isu dalam melindungi golongan rentan serta dapat dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua pihak yang terlibat, dan tidak dilihat sebagai tugas Kementerian sahaja,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu melibatkan keanggotaan antaranya seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kesihatan.
“Ini kerana setiap perkara adalah saling berkait dan bersangkutan antara tugas dan kuasa satu kementerian dengan kementerian yang lain.
“Sebagai contoh, isu pendaftaran Pusat Jagaan. Kelulusan Pusat Jagaan bukanlah autoriti KPWKM semata-mata, malah, ia melibatkan pemeriksaan dan penilaian agensi-agensi teknikal yang lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan dan pihak Bomba,” katanya.
Menerusi jawatan kuasa ini kelak, kita akan melihat pendekatan bagi melaksanakan Ujian Saringan Kesihatan Mental ke atas Pengasuh dan Petugas-petugas Pusat Jagaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai tahap kesihatan mental yang baik serta tidak cenderung untuk melakukan pengabaian, penderaan dan penganiyaan ke atas penghuni di bawah jagaan masing-masing.
“Insya Allah, KPWKM akan membentangkan satu Memorandum Jemaah Menteri bagi melaksanakan penubuhan jawatankuasa ini dengan segera,” katanya. –UTUSAN ONLINE