ARAU: Peniaga diberi amaran tidak menaikkan harga barangan yang telah ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2022 sepanjang tempoh penguatkuasaannya dari 26 April hingga 6 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman berkata, tindakan akan diambil kepada mereka yang ingkar dengan arahan tersebut.
Katanya, sebanyak 22 barangan terpilih tersenarai dalam skim berkenaan antaranya melibatkan ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging sepanjang tempoh tujuh hari sebelum dan tiga selepas Aidilfitri.
“Oleh itu, pengguna dapat membuat persediaan untuk hari raya dan memastikan harga yang dijual mengikut harga yang telah ditetapkan.
“Sekiranya terdapat kenaikan harga yang tidak sepatutnya, pengguna boleh membuat laporan kepada tribunal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sentiasa memantau, menjaga dan memahami kepentingan pengguna,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga sempena SHMMP 2022 di Pasar Raya Cmart di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Mohamad Amir Abdullah dan Pengurus Pasar Raya Cmart Arau, Kim Lin Teng.
Sementara itu, Azizan berkata, tiada kenaikan harga ayam melebihi harga kawalan dilaporkan dan beliau yakin kenaikan tidak akan berlaku semasa musim perayaan ini.
“Buat masa ini, kami tidak menerima laporan mengenai kenaikan harga barangan kawalan seperti ayam. Malah peruncit juga memberi keyakinan bahawa bekalan ayam dan telur ayam cukup sepanjang sambutan Aidilfitri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, KPDNHEP juga tidak menolak kemungkinan untuk memanjangkan tempoh skim tersebut jika ada keperluan. –UTUSAN ONLINE