PETALING JAYA: Veteran UMNO mempersoal tindakan segelintir pemimpin parti yang membangkitkan kedudukan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) susulan keputusan mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, semua ahli perlu sedar perkara dibangkitkan mereka itu sama ada menguntungkan UMNO atau sebaliknya.
Sehubungan itu, katanya, semua ahli sepatutnya akur dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana ia adalah satu keputusan untuk memantapkan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya.
“Soal jawatan itu semua urusan parti, parti ada peraturan dan ada MKT. Maka biarlah parti yang memutuskan. Bagi yang bukan MKT pula, saya nasihat agar jangan mewujudkan suasana keliru atau rasa tak seronok.
“Kita bukan tak boleh beri pandangan, malah bebas dalam memberi pandangan, tetapi kalau boleh jangan jadi api dalam sekam. Kena sedar sama ada kita bercakap itu boleh jadi benda baik atau rosak kepada parti.
“Apabila kita buat perkara yang boleh mengelirukan, maka pihak musuh politik boleh buat anggap kita berpecah. Jadi tak perlu buat pandangan yang boleh merosakkan perpaduan, timbulkan keraguan dan memberi ruang kepada musuh-musuh politik untuk mengkritik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Justeru, Othman meminta semua ahli UMNO untuk menjaga partidan memperkasa BN serta tidak menimbulkan sebarang isu dalaman yang boleh berpanjangan.
“Sepatutnya benda yang mengukuhkan UMNO, BN, maka mereka boleh bercakap. Tetapi jika bercakap itu boleh merosakkan parti dan tak ikut adab berparti, maka rosaklah parti,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilapor mencadangkan Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN dan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN susulan keputusan MKT yang mencalonkan beliau sebagai calon Perdana Menteri parti itu.
Beliau berkata, Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa aturan baharu politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti serta mampu memulihkan negara.
Namun, dalam satu majlis berbuka puasa bersama komuniti Keluarga Malaysia di sebuah hotel di Johor Bahru kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menyifatkan cadangan itu hanyalah sebagai pandangan dan lontaran idea.
Malah, bekas Setiausaha Agung UMNO itu berharap perkara tersebut tidak menjadi isu polemik yang berpanjangan. – UTUSAN










