Imbasan MySejahtera seperti tiada tujuan - Utusan Malaysia

Imbasan MySejahtera seperti tiada tujuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan peralihan ke fasa endemik bermula hari ini menyaksikan imbasan MySejahtera kini seolah-olah tiada tujuan kerana fungsi sebenar aplikasi tersebut adalah untuk pengesanan kontak rapat.

Pengerusi Pasukan Sukarelawan Komuniti Penglibatan dan Pemerkasaan Melawan Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, sehubungan itu penggunaan MySejahtera tidak lagi diperlukan kerana tujuan sebenar penggunaannya sudah tiada.

Bagaimanapun, kata beliau, aplikasi itu masih boleh dikekalkan untuk memaparkan sijil vaksinasi digital dan melaporkan kes positif.

“Kita kena simpan data pengawasan kes positif sahaja, tiada keperluan untuk simpan data ‘check-in’ lagi. Apabila terlalu banyak maklumat peribadi disimpan pun, ia hanya buat pengguna bimbang terhadap keselamatan data mereka.

“Jika Kementerian Kesihatan mahukan rekod atau data kes Covid-19, mereka perlu lakukan pengawasan sentinel. Apabila terdapat kes positif yang datang ke hospital atau klinik baru mereka rekodkan, untuk biasa sudah tidak perlu,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai menegaskan, amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis sepatutnya dihentikan terutama apabila negara melengkapkan fasa peralihan ke endemik.

Dakwanya, dengan bilangan kes positif dalam kalangan masyarakat yang tinggi, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala luas kerana tidak akan memberikan hasil diharapkan.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, keputusan menutup MySejahtera tidak perlu terburu-buru.

Beliau mengakui apabila negara beralih kepada fasa endemik bermaksud virus berada merata-rata di dalam masyarakat dan menyebabkan kes harian akan meningkat hingga tidak boleh dikawal kerana sudah dianggap sebagai batuk dan selsema.

“Apabila tidak boleh dikawal, kita tidak perlukan lagi statistik kes baharu dan hanya kes teruk sahaja diawasi. Situasi itu juga membawa maksud kita tidak lagi memerlukan MySejahtera tetapi bagi saya jangan tutup dahulu pada awal April ni,” katanya.

Tambahnya, tanpa MySejahtera sukar untuk meneliti kawasan-kawasan penularan kerana tiada cara untuk melihat masyarakat log masuk atau log keluar melalui imbasan aplikasi tersebut.

“Kita perlu melihat kesan sampingan dari pembukaan ini dahulu. Kalau kita tidak ada MySejahtera mungkin ada keperluan aplikasi tersebut selepas 1 April ini. Ia akan jadi penting jika wujud varian baharu bagi tujuan menjejaki keberadaan kes itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN