ALOR GAJAH: Kerajaan negeri digesa menyelesaikan isu ribuan burung gagak di lokasi tumpuan pelancong dengan menggunakan kaedah pembesar suara bermuzik dan besi tajam seperti dilaksanakan di negara-negara maju.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kaedah tersebut dilihat boleh menyelesaikan sehingga 50 peratus masalah burung gagak di Melaka.
“Banyak penyelesaian boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan mengambil contoh kawalan burung gagak yang digunakan di negara maju lain termasuk Singapura dan Jepun.
“Antaranya memasang pembesar suara bermuzik untuk menghalau burung gagak dan meletakkan besi tajam di pokok bagi mengelak haiwan itu bertenggek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.
Tambahnya, masalah burung gagak di lokasi tumpuan pelancong dilihat semakin membimbangkan sehingga mencetuskan ketidakselesaan para pelancong ketika berjalan kaki melalui kawasan berpokok.
Ujarnya, antara lokasi yang dicemari burung gagak termasuklah sekitar Bangunan Stadthuys, Kota Laksamana dan Banda Hilir.
Terdahulu, pada Mac lalu, media melaporkan, penduduk dan pelancong di sekitar Kota Laksamana serta Banda Hilir membuat pelbagai aduan selepas kawasan itu dicemari dengan najis, selain gangguan bau serta bunyi.
Mengulas lanjut, Poay Tiong turut mencadangkan kerajaan negeri menganjurkan satu sidang maya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) negara luar untuk saling bertukar maklumat dan pendapat bagi mencari jalan penyelesaian.
“Pada hari ini, kita tidak semestinya perlu berjumpa secara fizikal untuk mengadakan pertemuan atau kerjasama diplomatik, sebaliknya sidang secara maya juga lebih efisien.
“Mereka (kerajaan negeri) boleh mengumpul maklumat dengan mengadakan sidang secara maya bersama-sama wakil PBT negara-negara maju yang telah berjaya mengawal masalah burung gagak ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan membuat satu pertemuan dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu bagi membincangkan isu berkenaan dalam masa terdekat. –UTUSAN ONLINE