PETALING JAYA: Farhash Wafa Salvador akan membuat pengumuman sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden atau Naib Presiden pada pemilihan PKR Mei nanti hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi PKR Perak itu berkata, beliau masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu bertanding kerusi nombor dua atau tiga dalam parti itu.
“Tunggulah tengah hari esok kerana saya akan buat keputusan untuk bertanding kerusi nombor dua atau tiga PKR, tengoklah nanti. Tetapi sehingga kini belum ada keputusan,” kata bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika dihubungi semalam.
Kerusi Timbalan Presiden sehingga kini menyaksikan pertembungan dua nama besar PKR iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Sekiranya Farhash membuat kemunculan bertanding kerusi nombor dua PKR itu, secara tidak langsung berlaku perlawanan tiga penjuru antara beliau dengan Saifuddin dan Rafizi.
Dalam pada itu, Farhash mengesahkan beliau akan mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi jawatan Ketua Cabang PKR Gombak.
Katanya, beliau sudah menghantar pencalonannya semalam untuk bertanding jawatan peringkat cabang terbabit.
Penamaan calon bagi peringkat cabang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu, manakala bagi enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan dan empat naib presiden, selain kepemimpinan tertinggi sayap PKR akan diadakan esok. – UTUSAN ONLINE










