Elak pesakit kronik terus derita

Elak pesakit kronik terus derita

Siti Aisyah Shahid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beribu pesakit kronik yang terlantar di rumah kerana tidak mampu mendapatkan rawatan terbaik akan terus menderita sehingga ke akhir hayat mereka jika tidak dibantu oleh kerajaan dan orang awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Operasi (COO) MyFundAction, Siti Aisyah Shahid berkata, dalam kebanyakan kes, pesakit terbabit memerlukan rawatan segera tetapi mereka tidak ada kemampuan dari segi kewangan.

“Selain rawatan pembedahan, mereka juga memerlukan keperluan kesihatan seperti set alat pembersih luka, susu nutrisi untuk orang sakit, lampin pakai buang dan juga peralatan perubatan seperti katil khas, kerusi roda, mesin peralatan pernafasan dan pemakanan.” katanya.

Menurut Siti Aisyah, pihak­nya yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan telah membantu 2,739 pesakit kronik yang terlantar di rumah dan memerlukan bantuan kewangan sejak awal tahun ini.

Katanya, pesakit yang dibantu itu menghidap pelbagai pe­nyakit kronik antaranya barah, lumpuh akibat kemalangan dan jantung dengan sebahagian besarnya terdiri golongan B40 yang tidak berkemampuan untuk menampung kos perubatan.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan tentang perlunya kerajaan mewujudkan semula tabung untuk pesakit kronik bagi membantu golongan tersebut mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik dan pada kadar segera termasuk di hospital swasta.

Siti Aisyah berkata, usaha NGO tersebut yang menggerakkan kempen mengumpul dana awam berjaya meringankan beban pesakit dari segi kos perubatan yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit termasuk melakukan pembedahan.

“Kos yang diperlukan seperti pembedahan rata-rata antara RM50,000 hingga RM100,000 manakala buat pesakit yang memerlukan kemoterapi anggaran kos adalah RM300,000,” ujarnya.

Menurut Siti Aisyah, My­Fund­Action juga sudah mengendalikan lebih daripada 4,000 kes berkaitan pesakit terlantar yang menghidap pelbagai pe­nyakit kronik di kediaman ma­sing masing sejak 2020.

“Tahun ini kami sasarkan sebanyak 375 pesakit dapat dibantu dengan nilai dana bantuan sebanyak RM15 juta iaitu kira-kira RM40,000 setiap seorang.

“Pada tahun lalu sasaran kami hanya tercapai sekitar 60 peratus kerana ada pesakit sendiri yang malu untuk mendapatkan bantuan dan tidak tahu di mana untuk meminta bantuan kesihatan.

“Sepanjang tahun 2020 kami membelanjakan RM3.8 juta membeli barangan perubatan dan pada 2021 sebanyak RM5.32 juta pula dibelanjakan untuk membantu pesakit yang terlantar di kediaman masing-masing.

Tambahnya, cabaran utama organisasi berkenaan adalah mencari mereka yang memerlukan bantuan kerana masih banyak yang memerlukan tetapi tidak tahu, malah ada juga malu menerimanya.

“Rata rata mereka malu dan kebanyakan hospital kerajaan tidak mengeluarkan data pesa­kit, kami kalau boleh nak bantu lebih ramai pesakit,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pe­rsatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, pesakit yang terlantar tidak akan dikeluarkan daripada hospital begitu sahaja tetapi dirujuk ke unit kebajikan bagi mendapatkan bantuan.

“Kita memerlukan sistem penjagaan di rumah yang rapi buat pesakit, dengan ini rawatan dan kemasukan ke hospital dapat diminimumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN