Dapat notis jika bawa rokok sebelum dua petang - JAIM - Utusan Malaysia

Dapat notis jika bawa rokok sebelum dua petang – JAIM

DUA individu dikesan membawa rokok di dalam poket seluar ketika Operasi Plastik Hitam Bersendawa dilakukan JAIM di sekitar Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mengeluarkan notis kepada umat Islam yang dikesan membawa rokok dalam poket pakaian sebelum pukul dua petang. 

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, tindakan itu dibuat bagi membolehkan penguatkuasaan dilakukan secara efektif tanpa sebarang manipulasi.

Katanya, umat Islam yang dikesan membawa rokok di dalam poket seluar atau baju sebelum pukul 2 petang akan dikenakan notis hadir ke Pejabat JAIM bagi tindakan peringatan.

“Kita akan buat pendekatan di peringkat penguat kuasa operasi, kita akan bagi notis kepada pelaku untuk ke pejabat dan diberikan nasihat yang sepatutnya. 

“Kita bukan nak saman dia, ini hanya sebagai peringatan supaya perkara ini tidak berlaku kerana ia boleh membawa kepada kejadian ponteng puasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan Operasi Plastik Hitam Bersendawa di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Che Sukri menjelaskan, pendekatan secara berhemah itu dilakukan selepas pihaknya mengesan ramai umat Islam membawa rokok di dalam poket, namun, mendakwa berpuasa. 

“Dalam operasi hari ini, seramai dua individu dikesan membawa rokok di dalam poket seluar, kita juga boleh bau asap rokok dan percaya individu terbabit tidak berpuasa. 

“Namun, bau itu adalah subjektif dan tindakan kompaun tidak boleh dikenakan, malah, pelaku juga memberikan alasan tidak menyedari terdapat rokok di dalam poket seluar sama yang dipakainya semalam,” jelasnya. 

Tambahnya, satu perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan dibuat bagi menguatkuasakan pendekatan berkenaan. 

Jelasnya lagi, sebanyak 80 lokasi tumpuan kaki ponteng puasa telah dikenal pasti dan kini dalam pemantauan JAIM. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya