PUTRAJAYA: Kementerian Luar memaklumkan, dakwaan kononnya terdapat lebih 10,000 warga Malaysia terkandas di Thailand sejak dua tahun lalu adalah tidak tepat.
Menerusi kenyataan di sini, Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yakin jumlah sebenar yang berada secara tidak sah atau melebihi masa itu adalah jauh lebih kecil.
“Berdasarkan rekod kementerian dan pejabat diplomatik Malaysia di selatan Thailand itu, sehingga kini hanya terdapat 72 rakyat negara ini yang berdaftar dengan pihak konsulat,” katanya.
Bilangan tersebut ujarnya, adalah sebahagian kecil daripada seramai 444 warga Malaysia yang memegang pas sempadan dan telah mendaftarkan diri dengan pihak konsulat di Songkhla.
Media tempatan sebelum ini dilaporkan mendakwa seramai 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Thailand kerana tidak dapat pulang semula ke tanah air ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dan diikuti penutupan sempadan antarabangsa Malaysia ketika itu akibat isu penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, sejak pewartaan PKP dua tahun lepas, pihaknya telah menghulurkan bantuan konsular kepada 2,439 warga Malaysia yang mahu balik ke negara ini, namun memperakui ada beberapa kesulitan yang dihadapi sebilangan rakyat Malaysia di Thailand akibat penutupan sempadan tersebut.
Situasi itu bertambah sukar apabila kerajaan negara jiran itu awal 2021 lalu mengumumkan agar warga asing pemegang visa pelancong atau jangka pendek untuk meninggalkan Thailand.
Sekiranya didapati masih gagal berbuat demikian pula akan dikenakan penalti dan dianggap sebagai PATI, namun ada rakyat Malaysia pemegang pas sempadan telah luput tempohnya.
Susulan itu, Konsulat Jeneral di Songkhla telah membantu dari segi pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa bagi yang berhasrat mahu memohon lanjutan visa di negara berkenaan.
Malahan ujar Wisma Putra, Sijil Perakuan Cemas telah pun dikeluarkan kepada pemegang pas sempadan yang sudah tamat tarikhnya bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia.
“Pihak kementerian dan konsulat amat prihatin dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warga Malaysia yang terkesan akibat penutupan sempadan,” katanya.
Sehubungan itu tambah Wisma Putra, rakyat Malaysia yang memegang dokumen perjalanan telah luput tempoh dinasihatkan supaya segera hadir di pejabat konsulat bermula semalam bagi membolehkan pihak konsulat dapat memberikan bantuan perkhidmatan konsular sewajarnya kepada warga Malaysia untuk pulang ke Malaysia dengan sah.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia yang beralamat di No.4, Sukhum Road, Muang District, Songkhla menerusi talian telefon (6774) 311 062 atau 316 274 selain melalui e-mel rasmi iaitu [email protected]. – UTUSAN