JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini menyeru orang ramai menderma bekalan darah jenis O dan B yang semakin kurang dan dikhuatiri melepasi paras kritikal.
Pakar Perubatan Transfusi HSA, Dr. Nuraini Sham berkata, walaupun paras sedia ada masih mencukupi, namun kekurangan penderma sejak awal Ramadan menyebabkan bekalannya menyusut.
“Antara faktor utama pengurangan bekalan darah tersebut adalah disebabkan kurangnya penderma darah yang hadir terutamanya dalam kalangan umat Islam.
“Jika fenomena ini dibiar berterusan kemungkinan ia akan mengakibatkan stok darah turun ke paras kritikal. Ini membimbangkan kerana tidak dinafikan kadar kemalangan meningkat apabila terdapat sambutan perayaan sekaligus permintaan pemindahan darah turut meningkat,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mengikut rekod, hospital berkenaan menerima kira-kira 2,800 beg darah setiap bulan namun jumlah itu berkurangan mendadak setiap kali Ramadan sehingga hanya kira-kira 1,000 beg diterima.
“Bagi Ramadan tahun lalu, hospital ini telah menggunakan sebanyak 2,700 beg darah sepanjang sebulan dengan mengalami kekurangan kutipan beg darah sehingga 40 peratus pada masa sama.
“Justeru itu orang ramai termasuk penderma baharu dipelawa untuk hadir menderma darah di Pusat Pendermaan Darah HSA di Jalan Mahmoodiah yang beroperasi seawal pukul 8 pagi,” ujarnya.
Sementara itu katanya, penderma yang berpuasa pula boleh berbuat demikian selepas waktu berbuka di Johor Bahru Blood Donation Suite (JBBDS), pusat beli belah Mid Valley Southkey yang bermula pukul 10 pagi hingga 8.30 malam. – UTUSAN