Bekalan ayam, keperluan Aidilfitri dijamin mencukupi di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Bekalan ayam, keperluan Aidilfitri dijamin mencukupi di Pulau Pinang

PENIAGA ayam di pasar awam di sekitar Georgetown terpaksa menutup operasi lebih awal selepas mendakwa kekurangan bekalan ayam yang diperoleh daripada pemborong dan pembekal ayam sejak Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bekalan ayam, daging serta barangan keperluan lain untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dijamin mencukupi di Pulau Pinang.

Selain itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri , Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar juga memaklumkan harga ayam serta barangan keperluan lain sepanjang musim perayaan ini turut stabil dan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh para peniaga.

Jelas beliau, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai kekurangan bekalan ayam atau harga ayam yang dijual melebihi harga ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

”Bekalan juga dijamin mencukupi sepanjang musim perayaan ini walaupun kita menjangka akan berlaku permintaan yang tinggi terhadap barang mentah kerana ramai yang pulang ke kampung untuk beraya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) di Pasar Bayan Baru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut Mohd. Ridzuan, pelaksanaan SHMMP itu yang bermula dari 26 April hingga 6 Mei bertujuan memastikan bekalan mencukupi dan peniaga mematuhi harga barang yang ditetapkan sepanjang tempoh SHMMP berkuat kuasa.

“Pelaksanaan SHMPP perayaan Hari Raya Puasa 2022 telah mewartakan 19 jenis barangan terdiri daripada daging, hasil laut, sayur, barang kering dan kelapa.

”Kementerian tidak menolak kemungkinan untuk memanjangkan skim ini sekiranya ada keperluan,” katanya.

Tambah beliau, anggota penguat kuasa juga sentiasa berada di lapangan termasuk bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan secara mendadak oleh peniaga.

Dalam pada itu jelasnya, bermula Januari hingga semalam sebanyak 18,971 premis telah diperiksa di seluruh Pulau Pinang dan terdapat 355 kes dihasilkan.

”Nilai kompaun daripada keseluruhan kes ialah RM88,100 manakala nilai rampasan pula RM263,038.

”Kita akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN